Pustaka
Bahasa Indonesia
Bab
Pengaturan

Bab 3 - Gangguan Yang Tak Diundang

Pejabat department IT itu seperti biasa, sunyi, sejuk, dan statik. Hanya ditemani oleh bunyi kekunci keyboard yang ditekan bertalu-talu dan dengungan mesin fotostat yang perlahan-lahan membingitkan fikiran. Dinding kaca memantulkan bayang-bayang samar lelaki yang sedang duduk tegak di mejanya, Emir. Aku. Lelaki yang tampak tenang di luar, tetapi di dalam... bergelora hebat.

Aku menyandar perlahan. Di hadapan aku, kertas laporan berlonggok sudah beberapa kali dibelek, tapi satu pun tidak lekat di fikiran. Setiap huruf, setiap angka, seolah-olah berubah menjadi wajah itu. Wajah yang mencuri lena aku sejak enam bulan ini.

Iris.

Aku pejam mata. Dan seperti yang dijangka, gadis itu muncul lagi di ruang fikiran. Gadis yang aku kenal hanya seketika, tetapi entah bagaimana telah mengganggu sistem dalam diriku. Bukan sistem IT tapi sistem hati.

Aku tahu rasa ini salah. Tidak patut. Aku sendiri tidak pasti bila rasa itu mula tumbuh. Tapi sejak pertama kali aku melihat Iris berdiri di sebalik kaunter, menyambut pelanggan dengan senyuman manis yang polos... hatinya terusik. Ada sesuatu dalam diri gadis itu yang membuatkan dunia sekeliling aku jadi kabur.

Dan sekarang, walau hanya duduk di pejabat, berjauhan dari Iris, aku masih terasa kehadiran gadis itu. Masih terasa senyumannya. Masih terasa suara lembut yang menyapa tempoh hari.

Aku tidak tahu. Dan tak perlu tahu. Aku mencintai Iris... dalam diam. Diam yang perit. Diam yang penuh dengan debaran dan ketakutan.

Apa yang harus aku buat dengan rasa ini? Perlukah aku buang jauh-jauh? Atau biar saja ia meresap perlahan ke dalam darah, menyiksa diri aku setiap hari?

Aku mengeluh, mata menatap kosong ke arah tingkap pejabat. Langit Kuala Lumpur mendung hari ini. Sama seperti hati aku. Gelap dan keliru.

Aku bukan lelaki yang mudah jatuh cinta. Tidak pernah. Tapi Iris datang dalam hidup seperti sebuah gangguan manis yang tak dapat dihalau. Setiap kali aku cuba fokus tetapi gagal. Setiap kali aku cuba alihkan perhatian dan wajah itu kembali.

Aku menolak kerusi perlahan ke belakang, tubuh aku terdorong sedikit. Tangan kanan mengusap wajah, cuba menghapus bayangan yang kian jelas dalam fikiran.

"Aku tak patut rasa macam ni..." bisik hati kecil aku. Tapi hati bukan benda yang boleh dikawal dengan logik. Dan cinta... lebih payah daripada kod sistem yang rumit. Sekurang-kurangnya sistem masih boleh debug. Tapi hati? Bila rosak, ia pecah tanpa petunjuk.

Aku capai telefon bimbit di atas meja. Jari-jari aku teragak-agak sebelum membuka galeri. Dan di situ, satu gambar yang aku tidak pernah padam. Gambar yang sempat aku ambil secara senyap ketika Iris sedang menghidang kopi kepada pelanggan lain. Bukan stalker, bukan psiko. Aku hanya... jatuh hati. Dan dalam diam, aku mahu simpan momen itu sebagai satu-satu cara untuk merasa dekat dengan gadis yang tidak tahu kewujudan hati aku.

Aku tersenyum sendiri. Senyuman yang pahit. Senyuman yang hanya difahami oleh orang yang sedang mencintai tanpa suara. Dan aku tahu, selagi aku tidak luahkan... Selagi itu aku akan terus menderita.

Sudah enam bulan. Enam bulan yang menyeksakan. Enam bulan yang membakar diri aku perlahan-lahan dari dalam. Enam bulan aku memerhati gadis itu dari jauh. Menyimpan rasa yang tak pernah sempat diluah. Cinta dalam diam? Tidak. Ini bukan cinta biasa. Ini adalah keinginan. Ketaatan. Ketaksuban.

Setiap kali mata aku menangkap kelibat Iris, jantung aku berdetak seperti tidak mahu berhenti. Seolah-olah tubuhnya sedar bahawa inilah gadis itu. Gadis yang mencuri tenangnya, meragut logiknya, dan mencipta ruang baharu dalam hati aku yang selama ini dingin dan sunyi.

Iris.

Gadis yang naif. Gadis yang tidak tahu betapa aku sedang dipuja oleh seseorang yang tidak pernah berani mendekat tetapi dalam diam, menyusun langkah, merancang masa.

Aku menutup mata, membiarkan bayangan wajah Iris berlegar dalam fikiran. Mata bundar yang jujur. Bibir yang sedikit merah dan tampak lembut. Wajah itu... kalau boleh, aku mahu menyentuhnya perlahan-lahan. Mahu menggenggam pipi halus itu dengan jemari sendiri. Merenung jauh ke dalam mata Iris hingga gadis itu sedar dia tidak keseorangan.

Dia dimiliki. Oleh Aku.

Hanya aku yang layak melihat senyumannya. Hanya aku yang sepatutnya berdiri di hadapan gadis itu, melindunginya... dan memilikinya sepenuhnya. Bukan lelaki lain. Bukan pelanggan gatal yang berani bersuara manis. Bukan rakan sekerja yang pura-pura prihatin. Bukan sesiapa pun.

Dan setiap kali aku melihat Iris melangkah pergi, tubuh aku terasa kaku. Ada desakan aneh dalam diri, satu dorongan yang makin hari makin sukar dibendung rasa keinginan untuk memeluk tubuh itu, untuk menyedut haruman dari rambutnya, dan...untuk menjadikan gadis itu milik aku. Selamanya.

Aku tahu ini gila. Tapi aku juga tahu aku tidak boleh berpaling. Perasaan ini sudah terlalu dalam. Terlalu kuat. Kalau aku perlu melawan dunia untuk mendapatkan Iris, aku akan lakukannya. Dan jika darah perlu mengalir di tengah jalan... Aku tidak akan gentar. Kerana cinta ini bukan sekadar rasa. Ia adalah janji. Takdir. Pemilikan.

Dan aku sudah buat keputusan. Iris bukan hanya sekadar mimpi yang dilihat dari jauh. Gadis itu akan berada di sisi aku. Dalam pelukan aku. Dalam hidup aku. Dan jika sesiapa cuba halang.

Mereka akan musnah.

Ketika bayangan Iris masih menari-nari dalam fikirannya, ketika hati aku sedang larut dalam rasa yang sukar dijelaskan... tiba-tiba bunyi ketukan pintu memecah lamunan aku. Sekuat mana aku cuba berpura-pura tidak mendengar, bunyi itu tetap bergema keras, bertalu-talu, dan menyakitkan fokus.

Tok! Tok! Tok!

Aku mendengus perlahan. Aku memejamkan mata sebentar, menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembuskannya perlahan. Dunia nyata kembali menuntut perhatian, memaksa aku keluar dari ruang gelap yang selama ini menjadi tempat aku menyembunyikan perasaan.

"Masuk," arah aku datar.

Pintu pejabat dibuka perlahan, dan muncul seorang wanita berambut lurus separas bahu, bergaya dengan blouse satin warna merah pekat dan skirt hitam paras lutut. Bibirnya merah terang, langkahnya yakin dan tanpa menunggu jemputan, dia terus melangkah masuk dan duduk di atas kerusi di hadapan aku seperti ruang itu milik dia.

Batrisya. Nama itu sendiri cukup membuatkan dada aku mengeras. Aku menoleh sedikit, mata aku tajam meneliti wanita yang sudah aku kenal bertahun-tahun lamanya. Seorang wanita dari masa silam dan satu episod dalam hidup aku yang sudah lama aku mahu tamatkan, tapi tidak pernah selesai.

"Ada apa?" soal aku dingin. Nada suara aku tiada riak mesra, tiada senyuman. Hanya tegas dan jelas, aku tidak mahu kau di sini.

Batrisya tersenyum kecil. Senyuman yang penuh pura-pura. Senyuman yang selama ini pernah membuat aku percaya bahawa perempuan itu tulus... sebelum aku tahu, semuanya palsu.

"Aku rindu kau," jawab Batrisya perlahan, matanya merenung wajah aku seperti cuba membaca emosi aku.

Aku tidak membalas. Aku hanya menyandarkan tubuh ke kerusi, memeluk tubuh sendiri menahan rasa benci yang perlahan-lahan merayap ke tengkuk aku. Rasa meluat yang aku simpan selama ini, kini kembali menyala.

"Kenapa kau masih ganggu hidup aku, Batrisya?"

Soalan aku terluah perlahan, tapi tajam. Sepi menyelubungi bilik itu untuk beberapa saat. Hanya bunyi kipas pendingin udara yang berdesir lembut di atas kepala kami.

Batrisya menyilang kaki, cuba tampak tenang. "Aku tahu aku pernah buat silap. Tapi aku berubah, Emir. Aku cuba baiki semua. Aku cuba kembali sebab aku masih..."

"Masih apa? Sayang aku?" potong Emir. Suara aku keras, matanya menikam tepat ke arah wanita itu. "Sedangkan waktu aku perlukan kau dulu, kau yang curang. Kau yang tinggalkan aku untuk lelaki lain. Sekarang bila dia dah buang kau, kau datang balik pada aku, macam hidup aku ni tempat kau berpatah balik?"

Wajah Batrisya berubah, senyumannya luntur sedikit.

"Aku betul-betul menyesal."

Aku ketawa kecil sinis.

"Menyesal kau tak dapat miliki aku lagi. Itu saja."

Batrisya terdiam. Tapi dia tidak beranjak. Dia masih duduk di situ, seperti batu besar yang menyekat jalan. Seperti parasit yang enggan pergi walau dibuang berkali-kali.

"Aku tahu ada perempuan lain dalam hidup kau sekarang," ucap Batrisya. "Tapi dia tak kenal kau macam aku kenal. Dia tak tahu siapa kau sebenarnya."

Dan pada saat itu, sesuatu dalam diri aku berubah. Mata aku mengecil, dan hati aku jadi lebih gelap. Jangan sebut nama Iris. Jangan sentuh nama itu dengan bibir kau yang penuh dusta itu.

Iris. Nama itu suci. Bukan untuk disebut oleh perempuan yang hina seperti kau.

"Aku tak perlukan kau, Batrisya. Bukan sekarang. Bukan esok. Bukan selamanya."

Dia bangkit perlahan, berdiri dengan tubuh tinggi yang mendominasi ruang pejabat. Mata aku tajam memandang wanita itu yang masih tidak berganjak.

"Keluar. Sebelum aku hilang sabar."

Batrisya mengetap bibir. Tapi akhirnya, dia tunduk. Dan dengan langkah berat, dia bangkit dari kerusi dan keluar dari pejabat itu membawa bersamanya bau wangian yang selama ini aku pernah sukai, tapi kini cukup memualkan.

Pintu tertutup perlahan. Dan aku kembali duduk. Tapi kali ini, fikiran aku sudah tidak tenteram. Aku marah. Bukan kerana Batrisya semata-mata, tetapi kerana nama Iris telah disentuh oleh mulut yang tidak layak. Dan ketika aku menoleh ke arah telefon di atas meja, fikiran aku sudah kembali kepada satu hal...

Iris. Aku akan lindungi kau dari sesiapa pun. Termasuk masa silam aku sendiri.

Unduh sekarang dan klaim hadiahnya
Scan kode QR dan unduh aplikasi Hinovel