
Ringkasan
Emir Ashraf bukan lelaki biasa. Dia kacak dan menjawat jawatan IT Manager pada usia 30. Tapi siapa sangka, dalam diam dia menyimpan dua identiti — siang nampak bergaya, malam jadi pemangsa. Senyum manis, tapi tangan sudah berlumur darah. Dia masih hidup untuk satu sebab — balas dendam. Dua puluh tahun lalu, seluruh keluarganya dibunuh kejam oleh Zafran dan gengnya. Kini satu demi satu nyawa mereka akan dia cabut dengan tangan sendiri. Perlahan. Sadis. Sampai puas. Dalam dunia kelamnya itu, muncul Iris Helena — gadis rambut pendek, comel dan suci. Terlalu bersih untuk disentuh lelaki macam Emir. Tapi Emir sudah jatuh. Jatuh tahap psiko. Jatuh sampai sanggup jilat darah orang dan peluk bantal kononnya Iris. Masalahnya, Emir ada geng. Geng PB — Pretty Bastard. Tiga lelaki celaka yang suka main perempuan, rakam, dan ghost. Peraturan mereka mudah: Jangan jatuh cinta. Tapi Emir sudah langgar. Dan kini… dia sanggup bunuh sesiapa saja yang sentuh Iris.
Bab 1 - Satu Peluru, Satu Jasad
Emir Ashraf
Aku renung jam tangan di lengan. Tepat 09:00 malam. Jarum saatnya meluncur perlahan, tapi kepala aku sudah kira masa mundur. Lima minit saja lagi. Aku tak perlu tulis nama pada peluru aku tahu siapa pemiliknya. Dan dia pun, walau tak sedar... sudah pun tempah kematian dia.
Suasana bawah sana langsung tak sunyi. Bunyi hon bertingkah dengan tawa orang-orang kaya yang minum dan makan, selepas itu pura-pura bahagia dalam majlis hari jadi anak sendiri.
Anak umur lima tahun. Kek setinggi dua tingkat. Tapi ayahnya... kaki betina. Mulutnya bau darah. Dan aku? Aku cuma hantar hadiah terakhir satu lubang bersih di dada kiri.
Aku baring meniarap atas lantai simen kasar di rooftop bangunan pasaraya. Bukan rooftop mewah, tapi bangunan lama. Cat terkopek, besi berkarat. Tak ada CCTV. Tak ada pengawal.
Jangan tanya macam mana aku boleh sampai sini. Kalau kau tahu... kau orang seterusnya dalam bidikan aku.
Aku buka beg hitam. Zip perlahan. Setiap pergerakan aku dilatih macam ritual. Tenang. Teratur. Tak ada ruang untuk salah. Sniper aku, Blaser R8 Tactical terbaring seperti kekasih setia. Aku pasangkan suppressor.
Klik. Klik. Bunyi besi bertemu besi, perlahan. Lembut tapi kejam.
Angin malam menyapu pipi aku. Langit pekat. Cuma lampu neon dan billboard besar yang berkelip macam saksi bisu. Di bawah, bangunan seberang menyala terang ballroom hotel lima bintang.
Aku tak pandang ballroom itu. Aku pandang sasaran. Dato' Alex. Lelaki berumur dalam 50 an.. Rambut celup, perut buncit. Pakai suit mahal. Ketawa besar sambil peluk perempuan yang bukan isteri dia. Duduk di meja utama. Aras dua. Betul-betul menghadap tingkap kaca. Bodoh tapi untung.
Crosshair aku tepat pada dada dia. Sasaran, jantung pada dada kiri. Jarak 412 meter. Mungkin? Angin, stabil. Aku tarik nafas. Tahan.
Satu... dua...
08:05 PM.
Sesuai dengan masa yang dia janji jumpa pelacur minggu lepas. Tak sempat. Kali ni, dia akan 'main' dengan mati dulu.
"Tuk."
Bunyi itu bukan macam dalam filem. Tak ada 'boom'. Cuma bunyi sehalus letupan belon kecil.
Seketika, tubuh Dato' Alex tersentak. Mulut terbuka. Kemudian dia rebah perlahan atas kek hari jadi. Kepala terbenam dalam krim. Darah mula mengalir. Orang sekeliling lambat sedar. Ada yang ketawa lagi. Seorang budak perempuan tepuk tangan dia ingat itu persembahan.
Aku kemas kembali sniper. Cepat. Penuh disiplin. Barang masuk semula dalam beg. Zip tutup macam biasa. Aku bangun, kibas baju, jalan ke pintu kecemasan.
Tak ada siapa tengok ke atas. Tak ada siapa tahu aku wujud. Aku terus galas beg. Beratnya biasa saja macam beg kerja. Tapi isinya... nyawa manusia.
Aku bergerak pantas, tapi tak tergesa. Langkah aku terlatih. Konsisten. Tak ada siapa akan syak. Tak ada siapa akan kejar. Walaupun aku jauh dari bangunan seberang, telinga aku masih dapat tangkap bunyi kekecohan yang mula membuak dari dalam ballroom.
Orang mula menjerit. Ada suara teriak nama "Dato' Alex!" Ada kaca pecah. Seorang perempuan menangis terlolong mungkin isteri. Mungkin pelacur. Bezanya? Tak penting. Dua-dua lambat sedar.
Aku senyum sinis. Tak lama. Sekejap saja. Sekadar cukup untuk memuaskan rasa. Tangan aku tolak perlahan pintu besi kecemasan. Bunyi "ketak" halus kedengaran. Langkah aku menuruni anak tangga gelap satu per satu. Tiada CCTV. Tiada jejak. Tiada suara. Macam aku tak pernah wujud.
Sampai di bawah, aku terus berjalan santai. Langit malam pekat. Lampu jalan kekuningan. Angin bawa bau asap rokok dan sisa makanan dari restoran mamak berdekatan.
Tapi aku terus melangkah. Di hujung sana, sebuah kereta Mercedes AMG A45 tunggu aku dengan sabar. Hitam. Licin. Tak terlalu mewah untuk pamer, tapi cukup mahal untuk tak disentuh orang biasa.
Aku buka pintu pemandu. Masuk. Duduk. Enjin hidup tanpa bunyi. Keyless. Aku pun begitu tanpa bunyi. Aku tarik nafas panjang. Pandangan aku lurus. Tenang. Skrin dashboard menyala.
Waze? Tak perlu. Aku tahu ke mana aku akan pergi selepas ini. Aku sandarkan badan ke kerusi, laraskan seat, dan genggam stereng kulit AMG itu macam benda hidup. Sejuk. Licin. Tegang. Macam urat leher mangsa.
Klik.
Gear aku tarik. Mercedes AMG A45 mula meluncur keluar dari parkir gelap. Lorong sempit belakang bangunan sunyi. Langit pekat. Lampu neon berkelip macam nadi bandar yang tenat.
Tingkap separuh terbuka. Angin malam pukul muka aku perlahan. Aku pandu tenang. Tak lebih 60. Kereta ini tak perlu laju. Sebab aku tak lari. Aku keluar macam raja.
Sampai simpang besar, aku tekan pedal minyak sedikit. Bunyi deruman halus AMG itu naik macam desahan terakhir manusia sebelum mati. Highway di depan terbuka luas. Jari aku tekan butang radio. Frekuensi bergerak. Sekejap bunyi statik. Sekejap bunyi DJ. Sampai satu saat, ia berhenti.
"NEVER BACK DOWN... NEVER WHAT?"
"SLOWED + REVERB"
Beat berat phonk masuk. Bunyi bass macam degupan jantung yang aku bunuh tadi. Satu dua tiga... tuk. tuk. tuk.
Aku senyum nipis. Ini lagu untuk malam berdarah. Bukan jazz. Bukan balada tapi lagu jalanan. Lagu perang. Lagu hidup aku.
Steering aku pusing sikit ke kanan. Masuk DUKE. Lampu lebuhraya menari atas bonet kereta. Jalan kosong. Bandar Kuala Lumpur jadi siluet di cermin sisi. Aku memandu lurus. Tak perlu peta. Tak perlu GPS. Aku tahu jalan. Macam aku tahu siapa akan mati esok.
Dalam rear view mirror, hanya gelap. Tapi aku tahu bayang-bayang masa silam masih ikut belakang aku. Dan aku tak kisah. Sebab aku tak pernah undur. Aku tenung jalan lurus di depan. Stereng di tangan. Lagu phonk berdentum dalam kereta. Bass bergetar ikut degupan jantung aku yang tenang.
Highway malam ini tak ramai. Lampu jalan jadi bintang buatan. Angin masuk dari tingkap sebelah kiri. Segalanya lancar. Sempurna. Macam pembunuhan tadi.
Aku larikan mata ke cermin sisi. Kosong. Aku larikan mata ke tengah dashboard digital. Minyak penuh. Tiada notifikasi. Aku boleh pandu sejauh mana aku mahu. Tiba-tiba...
"WUFF! WUFF!!"
BAM!!
Seekor anjing hitam meluru keluar dari divider tengah highway. Laju. Gila. Langsung tak bagi isyarat hidup. Aku tarik stereng ke kiri, spontan. Tayar depan kanan melanggar garisan putih. AMG aku terhuyung sedikit. Badannya berat tapi balas cepat.
Brekkk!! ABS aktif. Tangan aku pegang stereng macam nyawa. Aku tekan brek separuh. Tak blok. Tak gopoh. Kereta berhenti perlahan. Stabil. Anjing itu sudah hilang. Mungkin selamat, mungkin sudah jadi arwah bawah kereta belakang.
Aku diam. Nafas tak laju. Dada tak berdegup. Aku bukan manusia biasa. Tak goyah dengan kejutan. Tapi mata aku pandang ke depan... kosong. Seolah malam itu baru cabar aku. Dan aku tak suka kalah.
Aku tekan pedal perlahan. Kereta mula bergerak semula. Lagu phonk masih berbunyi. Tapi sekarang... lebih perlahan. Lebih dalam. Macam dunia cuba bisikkan sesuatu.
"Tak semua boleh dikawal, Emir." Aku senyum nipis. Salah. Aku kawal segalanya.
Sekarang... Dato' Alex kesayangan semua sudah mati di tangan aku. Tangan yang sama aku guna untuk angkat bendera masa kecil. Tangan yang dulu pernah salam dia. Tangan yang pernah gemetar.
Tangan itu hari ini... jadi hakim. Aku puas tapi belum kenyang. Ini baru seorang. Baru satu nama yang aku potong dari senarai. Masih ramai lagi. Mereka hidup mewah, makan malam ribu-ribu, pakai kereta ratus ribu, tidur atas tilam empuk hasil darah orang lain.
Mereka fikir aku sudah mati. Mereka fikir aku hilang. Mereka salah. Aku hidup. Aku bernafas. Dan setiap hela nafas aku disalut dengan dendam. Aku akan cari mereka. Satu-satu. Hingga ke lubang cacing. Hingga ke liang lahad. Jangan harap mereka akan terlepas dari aku.
Dari Emir Ashraf.
Steering aku pusing perlahan. Kereta meluncur masuk ke simpang kanan satu-satunya jalan menuju ke kawasan perumahan elit paling senyap di seluruh Setapak. Tak ada kedai mamak. Tak ada budak lepak. Tak ada bising. Cuma sunyi yang mahal.
Lampu jalan di sini berwarna putih bersih, bukan kuning. Daun pokok hiasan tepi jalan disusun kemas. Tiada sampah. Tiada hon. Tiada wajah pelik. Semua terlalu sempurna menyesakkan nafas.
Di kiri dan kanan aku, rumah banglo tiga tingkat berdiri macam istana kecil. Pagar automatik. Tingkap tinted. Tapi bukan rumah-rumah itu yang menyorokkan rahsia. Orang dalamnya. Itu yang lebih gelap dari aku. Aku tekan butang di remote kecil.
"Klik."
Pagar rumah aku terbuka perlahan, macam mulut singa yang nak telan aku balik.
Mercedes AMG A45 masuk tanpa bunyi. Tayar bergeser atas batu grey granite driveway yang mahal itu batu yang bukan aku beli tapi tak pernah pijak tanpa kasut. Sampai depan pintu utama. Enjin aku matikan. Lampu automatik padam. Tinggal aku. Dan gelap.
Aku tengok ke depan, cermin tingkap rumah gelap semuanya. Lampu luar saja yang menyala sensor automatik. Rumah ini sunyi. Tapi dindingnya tahu semua cerita aku.
Aku buka pintu kereta. Angin malam Kuala Lumpur menyapa wajah aku. Tak ada bunyi cengkerik di sini. Cuma diam. Dan aku suka begitu. Akulah Emir Ashraf. Seorang lelaki berumur 35 tahun yang tahu apa aku lakukan.
Setiap tembakan aku sempurna. Setiap langkah aku terancang. Setiap kematian di tangan aku bersih, cepat, tanpa ragu. Aku tahu bila harus bergerak. Aku tahu bila harus diam. Aku tahu bila seseorang layak mati.
Dari atas hingga bawah, aku sempurna. Tubuh aku terjaga. Pakaian aku sentiasa kemas.
Fail aku di pejabat bersih tiada kesilapan. Orang luar lihat aku sebagai lelaki berkarisma. Misteri. Bila aku lalu, mereka tunduk hormat.
Tapi...
Yang tak sempurnanya... adalah hati aku. Bila aku merenung dia dari jauh. Bila aku lihat dia senyum pada orang lain. Bila dia berjalan melintasi aku... tanpa tahu bahawa seluruh hidup dia aku hafal dalam kepala. Nama dia? Aku ulang setiap malam. Jalan dia lalu? Aku pernah tunggu di setiap simpang. Warna baju yang dia suka? Aku tahu bila dia akan pakai.
Dan setiap kali aku pandang dia... Aku rasa benda yang aku paling benci: Ragu. Lemah. Dan... hidup.
Dan itulah yang paling menyakitkan. Sebab aku... tak pernah dia pandang balik.