Pustaka
Bahasa Indonesia
Bab
Pengaturan

Bab 2 - Aku, Emir Ashraf

Aku tahu semua tentang dia. Waktu dia mula kerja. Waktu dia balik. Nama kucing dia. Nama sekolah menengah dia. Platform mana dia suka post video. Dan ya, aku tahu waktu dia datang bulan.

Orang fikir aku gila. Tapi mereka tak tahu... aku cuma jatuh cinta lebih awal dari biasa.

Kereta aku berhenti perlahan-lahan. Tepat di depan sebuah kafe yang semakin tular dalam senarai "port paling aesthetic" di TikTok dan Instagram. Tapi aesthetic itu tak ada makna pada aku.

Dia ada di dalam.

Waktu baru pukul lapan pagi, tapi barisan di luar kafe dah mula beratur panjang. Lelaki. Lelaki yang suka senyum-senyum bangang, lengkap berkemeja kerja, kononnya nak kopi pagi. Tapi aku tahu... mereka ke sini bukan sebab kopi.

Mereka ke sini sebab Iris. Gadis barista berambut pendek yang ligat bergerak di balik kaunter. Berbaju T-shirt putih, apron biru tersarung kemas. Skinny jeans hitam membalut kaki jenjangnya. Tangannya pantas menyusun cawan. Tapi senyumannya... Senyuman itu membunuh.

"Iris Helena binti Iskandar," bisikku perlahan.

Nama itu sudah terukir dalam kepala aku sejak enam bulan lalu. Dan sejak itu, tak pernah sehari pun aku gagal datang ke sini. Duduk di kereta. Perhatikan dia dari balik cermin gelap.

Kadang aku bayangkan, kalau aku buka pintu sekarang dan seret dia masuk ke dalam kereta, apa reaksi dia? Menjerit Menangis? Atau... diam dan ikut? Tapi belum masanya. Buat masa ini, cukup aku tahu yang dia hanya milik aku.

Mulutku terukir senyum kecil. Senyum yang orang luar tak akan faham. Senyum seorang lelaki yang sedang simpan rahsia paling gelap.

Aku buka pintu kereta. Bunyi tapak kasut bergetar perlahan di atas kaki lima. Cermin kaca besar di hadapan memantulkan dbayang diriku, dan di baliknya, wajah dia.

Iris.

"Selamat datang!" jerit salah seorang staf perempuan dengan nada ceria. Tapi itu bukan suara dia. Aku terus melangkah ke kaunter, tak peduli siapa yang menyapa. Dan di situ ada dia sedang berdiri. Lebih dekat daripada biasa. Wajah itu... terlalu indah untuk dunia ini.

Jantung aku berdegup tak menentu. Aku nak pegang wajah dia. Nak tahu tekstur kulit dia bila disentuh. Tapi aku tahu, kalau aku buat... aku tak akan berhenti.

"Encik?" Suaranya lembut. Tapi cukup kuat untuk sedarkan aku dari lamunan.

"Hot chocolate satu," kataku, menahan nada suara agar tak bergetar.

"Mahukan apa-apa tambahan, encik? Curry puff? Atau kek hari ini?"

"Curry puff satu."

Dia menekan skrin mesin pesanan. "Hot chocolate satu!" jeritnya ke belakang. Suaranya merdu, walaupun hanya melaungkan pesanan.

"Jumlah semua, tiga belas ringgit sembilan puluh sen."

Aku hulurkan kad. Tanpa sepatah kata. Sebab lidah aku sudah beku tengok dia berdiri hanya sejengkal dari aku. Dan dia... masih belum tahu, yang lelaki depan dia sekarang adalah lelaki paling berbahaya dalam hidupnya.

Tangan aku masih pegang kad. Tapi mata tak lepas dari wajah dia. Senyumannya mula berubah. Masih senyum... tapi tawar.

"Encik..." Nada suara dia lembut, tapi ada nada tegas. "Boleh tak beri laluan pada pelanggan lain di belakang?"

Aku tersentak. Pandang tepi ada dua, tiga lelaki di belakang berwajah tak puas hati.

"Maaf..." bisikku perlahan. Aku undur, bergerak ke ruang menunggu. Tarik nafas. Cuba tenangkan diri.

Kawal, Emir. Kau lelaki biasa. Lelaki normal. Aku betulkan rambut. Berlagak selamba. Tapi dalam hati yang bergelora bagaikan laut bergelombang.

Mataku tetap ke arah dia. Iris. Dia sedang layan pelanggan lain. Senyum lagi. Tapi... bukan senyuman yang tadi. Senyuman tadi hanya untuk aku. Sekurang-kurangnya itu yang aku percaya.

"Satu hot chocolate dan curry puff!" Aku bangun, melangkah ke kaunter. Ambil pesanan tanpa pandang sesiapa. Tapi aku tahu, dia masih di situ. Masih dalam radar aku.

Aku duduk di meja paling hujung. Jauh dari kaunter, tapi cukup untuk lihat dia. Cawan hot chocolate aku letak atas meja. Tapi bila aku teguk... Tawar.

Sebab bukan dia yang buat. Aku tahu pergerakan dia. Aku tahu tugas dia waktu ini. Dan dia... tak sentuh mesin bancuh tadi. Minuman ini tak ada dia. Tak ada rasa dia. Aku tekup penutup cawan semula. Cuba paksa diri rasa bersyukur dengan sekadar melihat dia dari jauh. Tapi kemudian...

"Emir?"

Suara lelaki dari arah pintu kaca buat aku angkat kepala.

Fikri.

Aku senyum palsu. Dia tarik kerusi, duduk depan aku. Muka excited. "Aku dah tak dekat site dah, bro! Balik HQ!"

Aku senyum nipis. Tapi dalam hati rasa tak senang.

HQ = pejabat.

Pejabat = dekat dengan kafe.

Kafe = Iris.

Dan Fikri? Ramah. Jenis cepat mesra. Suka senyum. Suka tegur. Dan itu masalah.

"Aku rasa... aku patut kerja jadi barista je lah," dia ketawa "Hari-hari dapat tengok awek cun."

Aku senyum kosong. Senyuman yang penuh racun. Fikri pandang ke kaunter. Dia nampak Iris dan dia sengih.

"Comel gila, kan? Awek tu... nama dia Iris, kan?"

Darah aku naik. Tapi wajah aku tetap tenang.

"Kalau dapat jadi kekasih dia... pergh," katanya lagi. "Aku rasa aku lelaki paling bertuah dalam dunia ni."

Aku senyum. Makin lebar. Tapi bukan sebab gembira. Sebab aku sedang kira berapa banyak cara untuk pastikan dia tak sebut nama itu lagi. Dia bangun, pergi ke kaunter. Order dengan gaya paling menjengkelkan.

Iris masih berdiri di kaunter, jemari halusnya masih menggenggam telefon. Dia kelihatan fokus mungkin semak pesanan online. Fikri ambil peluang. Dia berdiri dengan yakin di hadapan kaunter. Sengihan makin lebar.

"Iced latte, no sugar satu," katanya sambil meletakkan tangan di atas kaunter. Iris angkat kepala lalu mengangguk perlahan. Belum sempat dia berpaling untuk siapkan pesanan.

Fikri buka mulut lagi.

"Tapi..." katanya sambil condongkan badan sedikit ke depan, seolah-olah nak buat lawak paling manis dalam dunia, "...saya rasa iced latte tu tak perlu gula pun."

Iris pandang dia semula. Dahi sedikit berkerut.

Fikri sambung, senyum macam budak baru lepas hafal pickup line TikTok, "Senyuman awak dah cukup manis."

Dan waktu itu... aku rasa dunia aku senyap sekejap.

Iris tak jawab. Dia hanya ketap bibir dan tarik senyum tipis senyuman. Senyuman terpaksa. Dia bukan terhibur. Dia cuma nak cepat habis layan pelanggan ini.

Tapi Fikri? Dia nampak bangga. Seolah-olah pickup line tu baru dapat anugerah. Dia berdiri di situ. Matanya masih melekat pada wajah Iris. Dan aku.. masih memerhati, dari jauh, dengan segala kekuatan yang aku ada.

Aku senyum. Tapi bukan senyuman manusia waras. Senyuman seorang lelaki yang sedang bersabar.. sebelum meletup. Aku tak mampu duduk lagi. Perut aku rasa panas. Kepala aku mendidih.

Aku bangun perlahan-lahan dari kerusi. Capai kunci kereta, kemaskan sedikit lengan baju.

"Oi Fikri," panggilku.

Dia baru sahaja berpaling dari kaunter, tangan masih pegang resit pesanan dan Iced latte.

"Jom. Kita gerak ke pejabat sekarang."

Fikri angkat kening, jelas terkejut. "Eh? Sekarang?"

Aku angguk. "Aku ada kerja tertangguh. Aku perlukan bantuan kau."

Dia teragak-agak sekejap, tapi kemudian mengangguk juga. "Okay... okay. Aku ikut."

Dia sempat melirik ke belakang mungkin pandang Iris buat kali terakhir. Tangannya capai cawan Iced Latte yang dipesannya tadi. Aku menahan nafas. Dan aku tahu, saat kaki aku melangkah keluar, aku baru sahaja berjaya cabut duri kecil dari dunia aku dan Iris.

Untuk waktu ini. Di luar.. langit nampak cerah. Tapi dalam hati aku, awan mendung sudah mula berkumpul.

Fikri tak tahu. Dia fikir dia ikut aku untuk kerja. Tapi sebenarnya... aku bawa dia keluar dari sesuatu yang tak pernah patut dia sentuh.

Unduh sekarang dan klaim hadiahnya
Scan kode QR dan unduh aplikasi Hinovel